Isnin, 19 Disember 2016

KHAS YANG DI-PERTUAN AGONG XIV, SULTAN MUHAMMAD V; ALMARHUM SULTAN YAHYA PETRA IBNI ALMARHUM SULTAN IBRAHIM

ALMARHUM SULTAN YAHYA PETRA IBNI ALMARHUM SULTAN IBRAHIM 
D.K.M., D.K., D.M.N., S.M.N., S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.S.K., D.K. (Selangor), D.K. (Terengganu), D.K. (Kedah), D.K. (Brunei), D.K. (Pahang), D.K. (Perlis), D.P. (Sarawak)
AL-SULTAN KELANTAN KE-27 (1960 – 1979)
YANG DIPERTUAN AGONG KEENAM (1975 – 1979)

Almarhum Sultan Yahya Petra diputerakan pada pukul 4 petang, 10 Disember 1917 dan merupakan putera kedua bagi Sultan Ibrahim IV ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV dengan isteri ketiga baginda iaitu Yang Mulia Che Puan Besar Cik Embong Binti Daud. Semasa kecilnya Baginda menerima pendidikan agama di tempat kediaman Baginda, di Istana Kota Lama. Istana itu masih terdapat lagi sekarang, terletak di pinggur Sungai Kelantan, dalam Bandar Kota Bharu. Pada tahun 1931 dalam usia 14 tahun, Baginda berangkat belajar di Prince Light School, Pulau Pinang. Selepas 4 tahun menimba ilmu pengetahuan di situ, maka pada 4 Jun 1934 Baginda telah melanjutkan pelajarannya ke England. Setelah berada di England selama 6 tahun, Baginda pun berangkat pulang ke tanah air, dan sampai ke Kelantan pada bulan Febuari 1939. Baginda juga dibesarkan oleh Ayahanda Saudara iaitu Almarhum Sultan Ismail I.

Perkahwinan
Tidak lama selepas berangkat kembali dari England, maka dalam usia 22 tahun, pada tanggal 4 Jun, 1939 Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Zainab bt AlmarhumTengku Sri Utama Raja Mohamed Petra. Perkahwinan ini diserikan dengan 1 putera 4 puteri
DYMM Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra 
YTM Tengku Merjan binti al-Marhum Sultan Yahya Petra, Tengku Puan Sri Utama Raja
YTM Tengku Rozan binti al-Marhum Sultan Yahya Petra
YTM Tengku Sharifa Salwani binti al-Marhum Sultan Yahya Petra
YTM Tengku Rohani binti al-Marhum Sultan Yahya Petra
Keluarga Diraja Kelantan
Foto:http://theadmirehunkz.blogspot.my/2011/05/dymm-sultanah-zainab-binti-almarhum.html

Belakang dari kiri: Tengku Rozan,  Tengku Sharifa Salwani, Tengku Marjan
Duduk dari kiri: Tengku Ismail Petra, Tengku Rohani
Foto: http://pp-sk.blogspot.my/2015_06_01_archive.html
Krisis Takhta Kelantan 1948

Tengku Yahya Petra dianugerahkan gelaran Tengku Temenggong dan Darjah Kerabat Yang Sangat Dihormati (D.K.) oleh Almarhum Sultan Ismail I pada 21 Julai 1939. Tengku Yahya merupakan putera kedua dan secara harfiahnya putera sulung Sultan memerintah akan diangkat menjadi waris pertama. Anakanda pertama Sultan Ibrahim ketika itu adalah Tengku Abdu’llah atau lebih dikenali dengan gelaran Tengku Besar Indra Petra. Pada tahun 1944, Tengku Indera Petra, kakakanda Sultan Yahya Petra telah dilantik menjadi Raja Muda, iaitu bakal pewaris pertama kepada singgahsana takhta kerajaan Negeri Kelantan Darulnaim. Pada 1 Februari 1948, Tengku Indera Petra telah mengambil keputusan menarik diri dari jawatan Raja Muda Kelantan kerana berlaku perselisihan faham diantara beliau dengan ayahandanya. Oleh itu, adindanya Tengku Yahya Petra telah dilantik oleh ayahandanya Sultan Ibrahim sebagai pewaris singgahsana takhta kerajaan Kelantan yang baru dengan gelaran baru Tengku Mahkota Kelantan. Perletakan jawatan Tengku Indera Petra sebagai Raja Muda Kelantan menyebabkan semua keturunannya tidak boleh menuntut takhta kerajaan dan perkara itu difahami olehnya. Putera Tengku Indera Petra yang sulung iaitu Tengku Tan Sri Ibrahim Petra pernah mencabar pertabalan Tengku Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan di mahkamah tetapi ditolak oleh mahkamah. 

Satu pemasyuran telah dibuat di Istana Balai Besar berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Sekular Nombor 6, 1948 yang ditandatangi oleh Dato’ Seri Setia “dengan titah perintah”.

"Pemasyuran Ketetapan dan Perlantikan Yang Amat Mulia Tengku Yahya Petra [Tengku Bendahara] Menjadi Bakal Sultan"

Ketahuilah oleh sekalian,
Adalah dimasyurkan bagi pengetahuan sekalian rakyat-rakyat dan penduduk-penduduk Negeri Kelantan, bahwa Yang Maha Muia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV, telah suka mengangkat, menetap dan meletakkan puteranya Yang Amat Mulia Tengku Yahya Petra [Tengku Bendahara] menjadi bakal gantinya dengan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.
 

Adalah dimasyurkan juga bahwa ketetapan perlantikan Yang Amat Mulia Tengku Yahya Petra menjadi bakal ganti Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad itu telah diiktiraf dengan rasminya oleh Kerajaan Yang Maha Mulia Baginda King.
 

Adalah dimasyurkan bahwa istiadat pertabalan Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Kelantan itu akan dilangsungkan pada hari dan waktu yang akan ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, demikianlah adanya”.

Upacara rasmi pemasyuran Tengku Yahya Petra sebagai YTM Tengku Mahkota Kelantan telah disempurnakan pada 19 Jun 1948 di Istana Balai Besar, Kota Bharu dengan penuh adat istiadat diraja. Tengku Yahya Petra telah dilantik menjadi Pemangku Sultan, dari 3 hingga 30 Jun 1953 ketika ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim berangkat ke England untuk menghadiri istiadat kemahkotaan Ratu Elizabeth II dan sekali lagi dilantik menjadi Pemangku Sultan daripada 12 Ogos 1958 sehingga 12 Disember 1958 kerana ayahanda baginda berangkat ke luar negara. Sewaktu memegang jawatan YTM Tengku Mahkota, Baginda menyandang berbagai-bagai jawatan dalam Kerajaan Negeri, seperti menjadi Penolong Ketua Bendahari Negeri, Setiausaha Sulit DYMM Al-Sultan, Yang Di’Pertua Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dan lain-lain jawatan lagi yang menambahkan pengetahuan Baginda tentang selok belok pentadbiran dan pemerintahan negeri. Semasa menjadi Tengku Mahkota, baginda turut terlibat sama dalam hal ehwal kerajaan negeri dan mengambil berat kebajikan rakyat. Semasa pemerintahan baginda (1948 - 1960), negeri Kelantan berada dalam keadaan darurat dan baginda tetap memberanikan diri dengan melawat kampung-kampung di kawasan pedalaman Kelantan.

Antara jawatan lain yang disandang:
  1. Timbalan Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan antara 1941 hingga 1947
  2. Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu pada 1 Januari 1948 hingga 31 Disember 1953.
  3. Penolong Ketua Pegawai Kewangan Negeri 2 April 1944
  4. Ketua Jajahan  Kota Bharu 6 Februari 1945
Banyak pembaharuan telah berlaku semasa zaman pemerintahan baginda. Antaranya;
  1. Anugerah Al Ibrahim di perkenalkan pada 10 Disember 1967.
  2. Dalam aspek pertanian, Air Lanas Scheme diperkembangkan di bawah program Rancangan Luar Bandar.
  3. Perancangan Tali Air Kembar melibatkan 484 batu peparitan, 7 batu benteng di sekitar Sg. Kelantan dan 1900 bangunan berkait dengan irigasi dan peparitan. Kos pembinaan sekitar RM75 juga ditanggung oleh kerajaan pusat tetapi rancangan itu diutarakan oleh kerajaan negeri.
  4. Rancangan Irigasi Lemal dimulakan dalam tahun 1960 dan dilancar oleh Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Petra pada 5 Oktober 1968. Mulai daripada 1 Januari 1969, Lembaga Lesen Padi dan Beras mula beroperasi.
  5. Penubuhan Persatuan Peladang Malaysia, Lembaga Pembangunan Tanah, Lembaga Pembangunan Selatan Kelantan, Taman Sekebun Bunga, Perumahan dan Pendidikan. 
  6. Pembukaan Pasar di Wakaf Siku
  7. Pembesaran Stesen Keretapi Wakaf Bharu, 
 
Pemasyuran Perlantikan KDYMM Sultan Yahya Petra sebagai Sultan Kelantan
Potret rasmi sebagai Al-Sultan Kelantan

Baginda menyandang jawatan Tengku Mahkota Kelantan selama 16 tahun sebelum dilantik menjadi Al-Sultan Kelantan pada 9 Julai 1960 berikutan kemangkatan ayahanda baginda Sultan Ibrahim. Baginda memakai gelaran Sultan Yahya Petra, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan Darulnaim ke-27. Keputusan untuk mengangkat baginda sebagai Al-Sultan yang baru dipersetujui sebulat suara oleh ahli Majlis Perajaan Negeri.


”Bahawasanya kami 
ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang dilantik mengikut fasal V Undang-Undang Perlembagaaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua yang bertanda tangan di bawah ini adalah dengan surat kenyataan ini mengaku bahawa kami telah mengadakan mesyuarat di Pejabat Setiausaha Kerajaan di Kota Bharu pada 9 haribulan Julai,1960 bersamaan dengan 15 haribulan Mahram, 1380 pada jam 5 petang mengikut kehendak fasal VIII undang-undang tersebut. Kami telah memeriksa dan menimbang surat-surat dan kenyataan-kenyataan dan kami mengsahkan Yang Teramat Mulia Tengku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim D.K.,S.P.M.K., S.J.M.K.,S.M.N, warisnya sebagai Sultan dan Yang Di Pertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim dan Jajahan Takluknya bagi mengganti Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad Ke empat D.K., S.P.M.K.,S.J.M.K., D.M.N. D.K. [Johor], D.K. [Brunei] yang telah mangkat pada jam 2.30 petang, 9 haribulan Julai, 1960 bersamaan dengan 15 Muharam 1380 di Istana Seri Cemerlang, Kota Bharu”.


Ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan ketika itu adalah;
  1. Tengku Muhammad Hamzah bin Tengku Zainalabidin, Tengku Sri Maharaja,Yang DiPertua, 
  2. Engku Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Abu Bakar, Engku Sriwangsa-Timbalan Yang DiPertua, 
  3. Tengku Ahmad bin Tengku Abdul Ghafar, Tengku Panglima Raja, 
  4. Tengku Abdul Majid bin Tengku Besar Yusuf, Tengku Sri Pakrama Raja, 
  5. Tengku Long Abdul Rahman bin Tengku Muhammad, Tengku Sri Kelana Diraja, 
  6. Tengku Anwar bin Tengku Zainalabidin, Tengku Sri Akar Raja, 
  7. Nik Ahmad Kamil bin Nik Mahmood, Dato’ Sri Setia Raja, 
  8. Nik Ahmad bin Hj,Nik bin Hj. Nik Mahmud, Dato’ Sri Nara Diraja, 
  9. Nik Abdullah bin Nik Muhamad, Dato’ Sri Diraja, 
  10. Haji Ahmed Maher bin Hj. Ismail, Dato’ Kaya Purba, 
  11. Haji Muhammad Saleh bin Umar, Dato’ Bentara Kanan, Dato' Bentara Kiri
  12.  En. Abdul Malek bin Hj.Muhammad, Dato’ Istiadat Mahkota,
  13. Encik Hashim bin Hj. Muhammad, Dato’ Wira jaya
Sultan Kelantan,Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Sultanah Tengku Zainab binti Tengku Mohammad Petra Pada Pertabalan di Istana Balai Besar Kota Bharu,Kelantan. 17.7.1961

Selepas diistiyarkan sebagai Sultan Kelantan pada 10 Julai, 1960 bersamaan dengan 16 Muharam, 1380H maka pada 17 Julai 1961 bersamaan dengan 4 Safar 1381 Baginda telah ditabal dan dimahkotakan secara besar-besaran sebagai Sulltan Kelantan, oleh Tengku Panglima Raja Ahmad bersama dengan Almarhum Raja Perempuan Tengku Zainab II binti Almarhum Tengku Muhammad Petra, di Istana Balai Besar, Kota Bharu. Pada tahun 1968 kira-kira lapan tahun selepas menaiki takhta pemerintahan, Sultan Yahya Petra jatuh gering secara tiba-tiba, dan terpaksa diterbangkan ke Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan khas di Hospital Besar Kuala Lumpur. Baginda menerima rawatan selama tiga bulan sebelum dibenarkan keluar dari hospital. Selama dalam kegeringan itu, menantu Baginda Yang Mulia, Tengku Sri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz bin Tengku Muhammad Hamzah telah dilantik menjadi Pemangku Sultan. Setelah pulih Baginda berangkat pulang ke Kota Bharu pada 4 hb. Febuari, 1968. Pada 22 Julai 1970, Sultan Yahya Petra dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja. Istiadat mengangkat sumpah diadakan pada 21 September 1970. Kemudian pada 19 Jun 1975, Majlis Raja-Raja memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Semasa pemerintahan Baginda sebagai Yang di Pertuan Agong, anakanda Baginda, Dulia Yang Maha Mulia Tengku Ismail Petra menjadi Pemangku Sultan. 


Perlantikan sebagai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia

 Potret rasmi sebagai Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong

Pada 22 Julai, 1970 Baginda Sultan Yahya Petra telah dilantik menjadi Timbalan Yang Di Pertuan Agong oleh Persidangan Raja-raja yang berlangsung pada hari tersebut, Istiadat mengangkat sumpah memegang jawatan telah diadakan pada 21 September, 1970. Kemudian pada 19 Jun 1975 Baginda telah dilantik menjadi DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang keenam. Istiadat mengangkat sumpah memegang jawatan telah diadakan pada 21 September, 1975. Sementara istiadat pertabalan selaku DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong telah diadakan pada 28 Febuari, 1976 bersamaan dengan 28 Safar, 1396. Serentak dengan itu, putera Baginda, Tengku Ismail Petra telah dilantik menjadi Pemangku Sultan untuk menjalankan urusan sebagai Ketua Kerajaan Negeri Kelantan Darulnaim.

Pertabalan sebagai Yang Di-Pertuan Agong

Sultan Yahya Petra mangkat secara mengejut selaku Yang Di Pertuan Agong pada pada pukul 3.45 petang, hari Khamis 29 Mac 1979 [1 Jamadil Awal 1399 H] dalam usia 61 tahun, di Istana Negara Kuala Lumpur. Baginda mangkat selepas santapan tengahari dan ketika sedang berihat bersama keluarga di Istana Negara. Jenazah Baginda telah diterbangkan ke negeri kelahirannya, Kelantan Darulnaim dan disemadikan di Tanah Perkuburan Diraja Langgar, Kota Bharu.

 Makam Almarhum Sultan Yahya Petra

Putera Hassan dari Jordan diiringi oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie masuk ke dalam masjid untuk upacara solat jenazah DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim di Masjid Negara, Kuala Lumpur. 30.03.1979


SUMBER:
PERANAN DAN SUMBANGAN KESULTANAN MELAYU KELANTAN DALAM PEMBANGUNAN NEGERI
Oleh
PROF. EMERITUS DATO’ DR. NIK HASSAN SHUHAIMI NIK ABD. RAHMAN
INSTITUT ALAM DAN TAMADUN MELAYU
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA, BANGI, SELANGOR

http://pondokrahmat.blogspot.my/2010/04/sultan-kelantan-berjiwa-rakyat-penjana_17.html-PEWARIS TAKHTA NEGERI KELANTAN Oleh:Hj.Mohamed Zain Saleh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan