Timbalan Sultan berangkat ke Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir YAM Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni Sultan Ibrahim

JOHOR DARUL TA'ZIM, MALAYSIA, Ahad, 6 Disember. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selamat berangkat tiba di Negeri Johor Darul Ta'zim, Malaysia bagi menghadiri Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir Al-Marhum Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor di Istana Besar Johor.

 
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor dijunjung oleh Ahli-Ahli EXCO Negeri Johor Darul Ta'zim; dan Ahli-Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor; serta pegawai-pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Kuala Lumpur, Malaysia.

Sejurus keberangkatan tiba, Doa Selamat dibacakan oleh Kadi Daerah Kulaijaya, Yang Berbahagia Tuan Sheikh Haji Fahmi bin A. Samad.

DYTM seterusnya berkenan berangkat menaiki kenderaan khas menuju ke Thistles Hotel, Johor Bahru tempat persemayaman DYTM. Keberangkatan tiba DYTM di Thistles Hotel dijunjung oleh Pengurus Am Hotel, Mr. Rashid Gallyot. DYTM kemudiannya berangkat ke Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir Al-Marhum YAM Tunku Abdul Jalil Iskandar, Tunku Laksamana Johor di Istana Besar Johor, Johor Darul Ta'zim.

Keberangkatan tiba DYTM di Istana Besar Johor

Keberangkatan tiba DYTM di Istana Besar Johor dijunjung oleh pembesar-pembesar Negeri Johor Darul Ta'zim. Selepas itu, DYTM dijunjung berangkat bersama-sama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk memberikan penghormatan terakhir dan seterusnya menunaikan Solat Zohor dan Solat Jenazah

Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor

DYTM Timbalan Sultan bersama DYMM Sultan Johor, bersama-sama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mengaminkan doa selepas selesai solat jenazah ke atas Almarhum YAM Tunku Abdul Jalil
Keranda Almarhum YAM Tunku Abdul Jalil dibawa keluar dari Istana Besar Johor dan diarak sejauh 3 kilometer ke Makam Diraja Mahmoodiah
 
Pedati khas yang membawa keranda Almarhum YAM Tunku Abdul Jalil
 
DYTM berkenan memimpin Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negeri Pahang Darul Makmur bagi sama-sama berangkat mengiringi jenazah Al-Marhum YAM Tunku Abdul Jalil Iskandar, Tunku Laksamana Johor
 
DYTM dijunjung untuk berangkat bagi menyertai perarakan mengiringi jenazah ke Makam Diraja Mahmoodiah
 
DULI Yang Teramat Mulia berangkat tiba di Makam Diraja Mahmoodiah bagi Istiadat Pemakaman selepas menyertai perarakan mengiringi jenazah Al-Marhum Yang Amat Mulia Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor
 
Sultan Ibrahim, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah
 
Seterusnya, DYTM dijunjung untuk berangkat bagi menyertai perarakan mengiringi jenazah ke Makam Diraja Mahmoodiah dan Istiadat Pemakaman. Al-Marhum YAM Tunku Laksamana Johor merupakan anakanda keempat Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Darul Ta'zim. Jenazah Al-Marhum YAM Tunku Laksamana Johor selamat dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah. Mengiringi keberangkatan DYTM ke Istiadat Ziarah Penghormatan Terakhir berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.
 

Ulasan

Catatan Popular