Sabtu, 11 April 2015

PERKAHWINAN DIRAJA BRUNEI 2015 - MAJLIS ISTIADAT MEMBUKA GENDANG JAGA-JAGA

MAJLIS ISTIADAT MEMBUKA GENDANG JAGA-JAGA
16 Jamadulakhir 1436 H / 6 April 2015 [Isnin]
 Lapau, Bandar Seri Begawan

Istiadat ini telah disempurnakan dengan penuh adat istiadat di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah sebagai wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah disambut oleh Ayahanda saudara baginda YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar merangkap
Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Istiadat Perkahwinan Diraja

Turut berangkat tiba ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim dan  Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen

Sejurus selepas  bersemayam di tempat duduk khas, alatan kebesaran diraja Dian Tunggal, Tikar dan Bintang Petian di bawa masuk. Dian Tunggal dan tikar diletakkan berhampiran dengan Pataratna Singgahsana manakala Bintang Petian dipersembahkan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah

 Dian (lilin) Tunggal, Tikar, dan Bintang Petian (Dulang berisi teko dan 2 biji cawan kecil) di bawa masuk oleh Awang-Awang Istana

 Bintang Petian dipersembahkan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah

Majlis bermula dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad memaklumkan kepada YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bahawa Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga telah siap sedia dimulakan.
Setelah itu, YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz menyembah maklum kepada DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. 

Setelah mendapat perkenan dari DYTM Timbalan Sultan, Istiadat ini bermula dengan Jurulaki Awang Haji Johan Areffen (Ketua Pasukan Nobat Diraja) menghadap sembah ke hadapan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan mengambil, seterusnya menjungjung Nakara.
Juru Laki Awang Haji mengangkat sembah di hadapan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.



Juru Laki Awang Haji Johan Areffen pun beringsut menaiki pipak tangga Pataratna satu demi satu dan terus mengambil Nakara dengan mengangkat dan mengusung di atas kepalanya lalu menuju ke tempat yang dikhaskan untuk meletakkan Nakara di atas kedudukannya di tengah-tengah antara dua Gendang Labek. 

Juru Laki Awang Haji Johan Areffen kemudian menitirnya menitir Nakara (memukul gendang) diringi dengan paluan Gendang Labek, tiupan Serunai, pukulan Agong dan Chanang. Ketika kesemua alatan ini dimainkan tembakan 21 das meriam dilepaskan. Selepas itu, diikuti dengan Titir Gendang Alih-Alihan Tengah dan Gendang Alih-Alihan Hujung serta diikuti oleh Titir Gendang Perang yang lazim jumlah titirnya adalah mengikut jumlah orang-orang yang hadir (yang berhak digendangkan).

Dalam masa yang sama, di Istana Nurul Iman alat-alat perhiasan diraja dinaikkan di Pemanjangan Istana dengan diringi paluan nobat yang sama. Balai Pemanjangan ini diletakkan di hadapan Istana Nurul Iman sepanjang Istiadat Berjaga-Jaga selama 14 hari bagi Perkahwinan Diraja
  • Tunggul charok buritan (Bendera Kuning Becabang) di pasang di bahagian hujung kiri dan kanan Pemanjangan
  • Payung tinggi
  • Sandaran
  • Ula-Ula Besar dan Sumbu Layang
  • Payong Haram
  • Payong Obor-Obor Tiga Ringkat
  • Chogan Diraja
  • Chogan Ugama
  • Lambang Kebawah Duli Yang Maha Mulia
  • Panji-Panji
  • Mahligai
  • Payong Tinggi
  • Alam Bernaga
  • Pisang-Pisang
  • Tunggul Buritan
  • Payong Obor-Obor
  • Ambal
  • Tunggul Kawan
  • Dadap
  • Rawai Lidah
  • Sapu-Sapu Ayeng
Payung Tinggi , Panji-Panji, Lambang Peribadi KDYMM Sultan dan Payung Obor-Obor Tiga Tingkat

Proses pemasangan alat-alat Perhiasan Diraja merupakan lambang kemegahan Negara dan Rakyat Brunei Darussalam yang diwarisi sejak zaman pemerinthan Sultan Brunei Pertama, Sultan Mohammad Shah dan Sultan Brunei Ketiga, Sultan Sharif Ali

Selesai paluan Nakara, Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned membacakan Doa bagi memberkati majlis.

Juru Laki Awang Haji Johan Areffen kemudian menjunjung dan meletakkan kembali Nakara di  Pataratna Singgahsana

Keberangkatan balik Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim dan  Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen

Majlis dihadiri oleh YAM Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Para Ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri, Manteri-Manteri Hulubalang dan Manteri-Manteri Pendalaman, Duta-Duta Besar, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Ketua-ketua Jabatan. Kalau di Malaysia Paluan Nakara ini boleh jugalah disamakan dengan Nobat Diraja.....

Sumber: http://www.infofoto.gov.bn
            : http://www.pelitabrunei.gov.bn

Tiada ulasan:

Catat Ulasan