Jumaat, 10 April 2015

PERKAHWINAN DIRAJA BRUNEI 2015 - MAJLIS ISTIADAT BERSURUH DIRAJA

MAJLIS ISTIADAT BERSURUH DIRAJA 
15 Jamadilakhir 1436H / 5 April 2015
Dewan Persantapan Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan
&
Darul Fadhl (Kediaman Pengantin Perempuan)
 Suasana di Balai Persantapan Istana Nurul Iman tempat diadakan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja

Istiadat disempurnakan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien. Sejurus selepas  DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah duduk ditempat yang telah dikhaskan, alat kebesaran diraja di bawa masuk.
Alat kebesaran diraja: Dian Tunggal (lilin), Tikar, dan Bintang Petian (dulang berisi teko dan 2 biji cawan kecil) di bawa masuk oleh Awang-awang

Majlis bermula dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad memaklumkan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibul Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia dimulakan. Yang Amat Mulia seterusnya menyembah maklum kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia dilaksanakan.
Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibul Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz memohon perkenan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah untuk memulakan majlis dengan menjemput KDYMM Sultan

Duli Yang Teramat Mulia kemudian menitahkan supaya Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad mengadap sembah menjemput Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk hadir ke Dewan Persantapan.

Keberangkatan masuk KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah diiringi 
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, 
DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah,
DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, 
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim, 
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan 
YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel

Sejurus selepas baginda dan ahli kerabat diraja yang lain bersemayam di tempat khas, 3 batang dian, 3 Tikar dan 3 Bintang Petian di bawa masuk oleh awang-awang. 3 bintang petian ini masing-masing diletakkan di hadapan KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibul Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz kemudian mempersilakan YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan.

YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris telah diperkenankan oleh sultan Brunei untuk mewakili baginda menjalankan peminangan diraja kepada Pihak pengantin perempuan

Titah Sultan Brunei kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris sebagai wakil baginda untuk menyatakan hasrat meminang Yang Mulia Dayangku Raabi’atul ‘Adawiyyah

Setelah itu, YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris berserta beberapa orang Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Pehin-Pehin Manteri, Manteri Agama, Manteri Hulubalang dan Manteri Darat memohon sembah KDYMM Sultan untuk menuju ke kediaman Pengantin perempuan di Darul Fadhl. Kemudian Baginda dan ahli kerabat diraja yang lain berangkat meninggalkan majlis.

Di Darul Fadhl, kediaman Pengantin Diraja Perempuan, majlis dimulakan dengan ayahanda pengantin perempuan iaitu Yang Mulia Pengiran Haji Bolkiah bin Pengiran Haji Jaluddin mewakilkan YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim (Menantu Sultan Brunei) bagi menerima pinangan dari pihak istana.

Setelah Majlis Istiadat Meminang sempurna dilaksanakan rombongan kemudian kembali semula ke Istana Nurul Iman untuk menyembah maklum kepada KDYMM Sultan bahawa pihak pengantin perempuan telah menerima pinangan dari Istana. Majlis diadakan sekali lagi di Dewan Persantapan dengan  Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad mengadap sembah menjemput Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk hadir ke Dewan Persantapan. YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris kemudian masuk menghadap dan menyembah maklum bahawa pihak pengantin perempuan telah menerima pinangan Istana. Doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sumber: http://www.infofoto.gov.bn
            : http://www.pelitabrunei.gov.bn

Tiada ulasan:

Catat Ulasan