Isnin, 13 April 2015

PERKAHWINAN DIRAJA BRUNEI 2015 - ISTIADAT BERSANDING PENGANTIN DIRAJA

ISTIADAT BERSANDING PENGANTIN DIRAJA
22 Jamadailakhir 1436 H / 12 April 2015 [Ahad]
Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurl Iman

Istiadat Bersanding merupakan upacara kemuncak dalam adat istiadat perkahwinan diraja Brunei. Suasana dalam Balai Singgahsana Indera Buana tempat dilangsungkan Majlis Istiadat Bersanding dihias begitu indah dengan susunan kerusi-kerusi para tetamu khas dan para jemputan mengikut susunan adat istiadat. Istiadat Bersanding Diraja disaksikan di hadapan ribuan tetamu khas dari dalam dan luar negara termasuk ketua-ketua kerajaan dan negara, tetamu-tetamu diraja serta orang-orang kenamaan yang lain. Kemeriahan majlis istiadat itu bermula seawal pukul 5.00 pagi dengan kehadiran para petugas untuk menyiapkan semua kelengkapan bagi memastikan kelancaran majlis istiadat tersebut.

Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta kerabat-kerabat kanan yang lain

Majlis dimulakan dengan keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta kerabat-kerabat kanan yang lain. sejurus selepas baginda bersemayam di tempat khas, 4 orang awang-awang istana masuk bagi menyalakan Dian Empat yang teletak di hadapan Singgahsana. Kemudian Kasur Namat di bawa masuk dan diletakkan di antara Dian Empat

(Kasur- Tilam bersaiz segi empat berbalut dengan kain kuning emas yang merupakan alas duduk persemayaman Sultan tetapi tidak lagi digunakan. Sebaliknya ia diletakkan di satu tempat khas di dalam mana-mana Istiadat Diraja seperti Istiadat Perkahwinan Diraja dan Istiadat Berkhatan Diraja) 
(Namat- Tikar berbentuk segi empat bersarung kain yang berlapis sutera kuning dan berjahit dan bersulam  emas pada bahagian tepi)
Pengantin Diraja Perempuan diiringi oleh Isteri-isteri pembesar negara dan alat-alat Kebesaran Diraja

Seramai lapan isteri pembesar-pembesar negara yang dititahkan membawa masuk Pengantin Diraja Perempuan, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah berangkat masuk ke Balai Singgahsana Indera Buana. Keberangkatan Pengantin Diraja Perempuan  diiringi dengan 2 orang Pengangun Pengantin Perempuan, Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Dayang Hajah Aminah, Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Dayang Hajah Siti, seorang Pengiran Perempuan berbaju Gadong, seorang Dayang-Dayang membawa Kaskol Langguai, 7 orang Pahawai Perempuan memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol dan Dian 16 yang dibawa oleh 16 orang Dayang-Dayang.

Pengantin Diraja selamat bersemayam di Singgahsana sambil menunggu keberangkatan masuk pengantin diraja lelaki
 
KDYMM Sultan Brunei kemudiannya menitahkan enam orang Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria yang diketuai Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bagi membawa masuk YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik

Keberangkatan masuk YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik diiringi oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan dituntun oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Datu Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

 YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ditaburi dengan bunga rampai dan dijirus dengan air mawar sebaik sahaja tiba di hadapan pintu masuk Balai Singgahsana Indera Buana


 Sejurus tiba di hadapan Singgahsana, KDYMM Sultan memimpin tangan puteranya untuk diletakkan di atas jemala Pengantin Diraja Perempuan. Sebaik sahaja tangan puteranya itu menyentuh jemala pengantin perampuan 17 das tembakan meriam dilepaskan di perkarangan istana. Istiadat ini diiringi dengan Selawat yang di bacakan oleh Mufti Kerajaan.

17 das tembakan meriam dilepaskan sebaik sahaja Pengiran Abdul Malik menyentuh jemala Pengiran Rabi’atul Adawiyyah

Pasangan Pengantin Diraja Bersemayam di Singgahsana

Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar membacakan surat pengisytiharan gelaran diraja bagi Pengiran Rabi’atul Adawiyyah

Majlis berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan. Kelihatan Pengantin Diraja mengaminkan doa memehon keberkatan perkahwinan mereka

Para jemputan memberi kad-kad jemputan kepada pegawai-pegawai bertugas untuk di'scan' dan seterusnya dikehendaki menjalani pemeriksaan di hadapan pintu masuk

Istiadat Bersanding Pengantin Diraja yang dihadiri lebih 4,000 tetamu itu telah selamat disempurnakan dalam suasana penuh adat beristiadat dan gilang-gemilang.

Suasana dalam Balai Singgahsana Indera Buana tempat dilangsungkan Majlis Istiadat Bersanding dihias begitu indah dengan susunan kerusi-kerusi para tetamu khas dan para jemputan mengikut susunan adat istiadat

 Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha bergambar kenangan bersama Mempelai Diraja

Biras Sultan Brunei, Yang Mulia Pengiran Haji Bolkiah bin Pengiran Haji Jaluddin dan Yang Mulia Pengiran Hajah Noor'aismah binti Pengiran Haji Ismail bergambar kenangan bersama Pengantin Diraja

Gelaran baru....Dayangku Rabi’atul Adawiyyah kini disebut sebagai Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Rabi’atul Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah 
&
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah

Sumber: Ihsan PELITA BRUNEI
            : FB Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei
            : Infofoto.gov.bn

Tiada ulasan:

Catat Ulasan