Permaisuri Rakyat Jelata dihati Kerabat

CINTA itu seolah-olah mempunyai kuasa sakti. Lahirnya kehidupan insan dikatakan segalanya atas dasar cinta. Namun, cinta itu terkadang sangat rumit untuk diramal dan memang benar apabila falsafah menyebut, cinta itu buta.

Tatkala ghairah cinta sudah menyelinap dalam sukma, para pencinta sanggup berkorban jiwa dan raga. Jika dirayu untuk melastik bintang sekali pun, ia akan diredah tanpa keluh kesah. Betapa hebatnya kuasa cinta sehinggakan perbezaan darjat waima keturunan, protokol atau harta pun bukan penghalang untuk mendirikan istana bahagia

Lihat saja riwayat cinta yang diulit antara pasangan yang berbeza martabat, antara putera raja dan wanita biasa. Ada yang kecundang di pertengahan jalan. Namun, tidak kurang pula legenda cinta mereka diingati berzaman lamanya.

Jordan: Gadis Palestin Rania Al Yassin
Cinta antara dua darjat yang bertunas antara Raja Abdullah II dengan Rania Al Yassin merupakan antara cinta teragung untuk diteladani. Rania sendiri barangkali tidak menyangka kehadirannya di sebuah majlis keraian pada tahun 1993 telah mengubah rentak hidupnya.Hanya membalas senyuman seorang lelaki yang asyik memerhatikan gelagatnya yang canggung di celah-celah para aristokrat lain, telah menjadikannya seorang permaisuri di sebuah negara di Jordan. Daripada seorang pegawai pemasaran untuk syarikat perbankan Citibank dan Apple Inc, Rania mewakili angan-angan dan fantasi kebanyakan gadis yang sentiasa mengimpikan untuk dilamar oleh seorang putera raja.Raja Abdullah telah menyunting Rania menjadi suri hidupnya hanya selepas 10 bulan mengenali hati budi masing-masing.
10 June 1993 pasangan ini mengikat tali perkahwinan
“Hidup ini penuh keajaiban dan bunga-bunga cinta telah menjadikan hidup saya semakin bermakna,” kata Rania yang kini berusia 44 tahun.

Permaisuri yang dikategorikan antara yang paling intelektual di dunia itu sangat disayangi rakyat jelatanya. Baginda juga sudah pun melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang permaisuri dengan melahirkan empat pewaris.
Permaisuri Rania dan suaminya Raja Abdullah bersama Putera Mahkota Hussein,20 dan Puteri Iman 18 bergambar ketika menghadiri Majlis perkahwinan Anakanda saudara Raja Abdullah, Puteri Aya Al Feisal dengan  Mohammad Halawani pada 22 Mei 2014
Anakanda Permaisuri Rania : Puteri Iman 18, Puteri Salma 14, dan Putera Hashem 10


Sepanyol: Pesona wartawan janda: Letizia Ortiz Rocasolano

Cerita Rania berlainan dengan kisah cinta seorang wartawan penyiaran yang terkenal di Sepanyol. Kisah beliau boleh disamakan dengan Azrinaz Mazhar Hakim yang disunting oleh Sultan Hassanal Bolkiah tetapi yang berbezanya Letizia kini merupakan Permaisuri Negara Sepanyol pertama dari kalangan rakyat biasa. Letizia Ortiz Rocasolano menjangkakan hidupnya akan merana apabila bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang guru. Sangkaannya itu ternyata meleset. Kemunculan Letizia yang membaca berita ekonomi bagi Spanish TV, telah menambat hati Putera Felipe yang merupakan pewaris takhta Austurians.
pada ketika usia 25 tahun letizia sewaktu bekerja sebagai pembaca berita bagi stesen tv Sepanyol, Bloomberg Spain Network

Apabila cinta sudah bertaut, Putera Felipe sanggup melakukan apa saja termasuk menghubungi pemilik stesen berkenaan untuk mengatur pertemuan dengan wartawan itu. Letizia tergamam ketika bertentang mata dengan seorang putera kesayangan Sepanyol dalam satu majlis makan malam khas yang diaturkan untuknya. Walau tampil bersahaja, pesona janda tersebut telah mencairkan hati putera berkenaan. Status wartawan penyiaran mewujudkan kebimbangan kepada institusi beraja di sana tetapi, bukan di hati Putera Felipe. Kini Populariti dan kebijaksanaan Letizia dalam memainkan perananya sebagai bakal permaisuri telah menyebabkan rakyat Sepanyol dapat menerima kehadiran beliau sebagai Ratu mereka. Malah, Permaisuri Letizia dilihat sebagai penyelamat institusi diraja Sepanyol dari menerima nasib seperti keluarga diraja Nepal apabila keluarga diraja itu diselubingi dengan skandal rasuah. Pasangan Diraja kini bahagia disamping 2 Puteri kesayangan mereka Infanta Leonor dan Infanta Sofia
Pasangan ini dinikahkan pada tahun 2004 di Cathedral Santa MarĂ­a la Real de la Almudena di ibu negara, Sepanyol, Madrid.
bersama anakanda Infanta Leonor 9 dan Infanta Sofia 8

Monaco -Terpaut dengan atlet- Charlene Lynette Wittstock

Bagi rakyat Monaco, adalah menjadi satu kehampaan apabila putera mereka, Putera Albert memilih rakyat biasa menjadi bakal permaisuri. Barangkali takdir sudah tertulis, Putera Albert tidak berupaya mencurahkan kasih dan sayangnya pada gadis yang sedarah dengannya. Kelibat Charlene Wittstock yang merupakan perenang kelahiran Bulawayo, Zimbabwe, dalam keadaan tidak terurus dalam satu majlis sosial telah menawan hati Putera Albert.

“Saya memang buta tentang fesyen, saya masih ingat lagi, saya telah meminjam gaun berwarna hijau daripada seorang rakan. Kemudian saya warnakan kuku saya dengan warna merah, saya seperti pokok krismas ketika bertemu dengan seorang putera idaman ramai,” tutur Charlene ketika ditemu bual oleh wartawan.

Sewaktu Istiadat perkahwinan mereka pada Julai 2011

Kemunculan sebegitu dipandang sebelah mata oleh sebilangan hadirin. Namun, pada mata Putera Albert, Charlene sungguh menawan. Sungguh tidak disangka, kenyataan yang terpacul daripada mulut jaguh sukan renang itu tadi tidak semena-mena membuatkan rakyat Monaco jatuh cinta pada kerendahan hatinya. Pada hari perkahwinannya, Putera Albert menghadiahkan sebentuk tiara bermotifkan ombak laut bagi menghargai penglibatan isterinya itu dalam sukan renang.
Tiara ciptaan Van Cleef & Arpels dibuat khas sebagai hadiah kepada Charlene terdiri dari 850 permata pelbagai saiz dan 359 permata biru dan tiara ini boleh diubah menjadi sekalung rantai leher

3 tahun mendirikan rumahtangga bersama pemerintah Monaco ini, belum ada tanda-tanda Cherlene akan memberikan waris sah bagi mewarisi takhta Monegasque. Undang-undang pewarisan takhta kerajaan diubah seandainya tiada waris dari Charlene bagi membolehkan kekanda Putera Albert mewarisi takhta. Namun kebimbangan rakyat Monaco terlerai apabila Charlene menghadiahkan waris sah dari keturunannya. Bukan seorang malah 2 orang bayi comel sekali gus. Pasangan kembar ini dilahirkan pada 10 Disember 2014. 42 das tembakan dilepaskan (21 das setiap seorang) di Kota Kubu Antoine dan Gereja Besar Monaco membunyikan loceng sempena meraikan kelahiran waris sah takhta Monaco.
Putera Jacques dan Puteri Gabriella


Dipetik dan diubahsuai dari keratan akhbar KOSMO 2011 oleh Mazlina Abdul Majid 

Ulasan

Catatan Popular