Rabu, 17 September 2014

Prince Day (Prinsjesdag 2014)

Semalam 16 September 2014, Parlimen Belanda telah mengadakan Istiadat Diraja sebelum persidangan Parlimen bermula. Upacara Tahunan ini termaktub di dalam Perlembagaan Belanda Perkara 65 di mana Raja atau Ratu yang memerintah perlu menyampaikan titah ucapan diraja sebelum ahli Dewan Negara (Dutch Senate) dan ahli Dewan Rakyat (House of Representatives) memulakan persidangan. Istiadat ini akan diadakan pada setiap tahun iaitu pada setiap hari Selasa minggu ketiga dalam bulan September. Jika sekiranya di Malaysia Yang di-Pertuan Agong akan menyampaikan titah ucapan diraja secara terus di Parlimen, di Belanda pula istiadat ini akan diadakan di sebuah bangunan bersejarah yang dikenali sebagai Knight's Hall  atau dalam bahasa Belanda disebut sebagai Ridderzaal di tengah-tengah bandar The Hague. Kesemua ahli parlimen akan menghadiri istiadat ini termasuk kerabat diraja yang paling kanan. Ini merupakan Titah ucapan kedua bagi Raja Willem-Alexander selepas diangkat menjadi Raja Belanda pada April tahun lalu bagi menggantikan bondanya Ratu Beatrix yang mengambil keputusan turun takhta kerajaan.
Berangkat meninggalkan Istana Noordeinde
Adinda Raja, Putera Constantijn dan isteri Puteri Laurentien
Kawalan kereta berkuda digunakan dalam istiadat ini dimana Raja Willem -Alexander dan permaisuri Maxima akan menaiki kerete kuda emas diarak dari Istana Noordeinde sehingga ke Knight's Hall
 
Ketibaan Pasangan Diraja

Raja Willem-Alexander menyampaikan titah ucapan diraja yang merangkumi Bajet 2015.
Dalam titah ucapan diraja, Raja Belanda, Raja Willem-Alexander menzahirkan rasa dukacita dan sedih diatas nahas kapal terbang milik Malaysia Airlines MAS MH 17 yang disyaki ditembak jatuh di Ukraine. baginda menyifatkan tahun ini sebagai tahun perkabungan kerana kebanyakan mangsa yang terkorban adalah rakyat negaranya. Selain dari itu, baginda turut menyentuh hal berkaitan perkembangan ekonomi yang semakin melonjak dari semasa ke semasa malah baginda turut meminta kerajaan memberikan keutamaan dalam isu berkaitan pengangguran. Titah ucapan ini merupakan bajet perancangan kerajaan Belanda bagi tahun 2015

Selesai sahaja istiadat ini, baginda bersama Permaisuri Maxima serta adindanya Putera Constantijn dan isteri Puteri Laurentien berangkat pulang ke Istana Noordeinde dengan kawalan kereta berkuda dan tentera diraja. Kesemua Penduduk Belanda akan berbaris sepanjang jalan yang dilalui oleh kerabat diraja bagi melihat mereka dari dekat. Seperti kelaziman tahun-tahun sebelumnya, kesemua kerabat diraja akan keluar dan berada dibalkoni istana bagi meraikan rakyat jelata yang berkumpul dihadapan istana.
Keberangkatan pulang
Putera Putera Constantijn, Puteri Laurentien, Raja Willem-Alexander dan Permaisuri Maxima melambai di balkoni istana selepas istiadat Parlimen selesai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan